
Madinah – Jemaah haji Malaysia mudah dikenali melalui tali dan tag pengenalan yang disediakan Tabung Haji (TH) untuk dipakai sepanjang masa mereka berada di Tanah Suci.
Bagi musim haji tahun ini, TH menyediakan tali penyandang berwarna merah untuk jemaah Malaysia di Madinah dan warna oren untuk jemaah di Makkah.
Oleh itu semua jemaah haji dinasihatkan supaya sentiasa memakai tali penyandang dengan tag pengenalan itu bagi memudahkan mereka dikenali oleh petugas-petugas TH, sesama jemaah haji dan pengesanan, kata Pengurus Ibadat Madinah TH Mohd Razali Zakaria.
“Mereka yang baru tiba (terutamanya) diingatkan jangan menanggalkan lanyard (tali penyandang) dan tag pengenalan yang diberikan kerana jika tersasar atau tidak menemui jalan tempat menginap di tanah suci, mereka boleh dibantu,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Mohd Razali berkata demikian kerana jemaah haji bila tiba di Madinah akan mengikuti program ziarah ke beberapa tempat suci dan bersejarah.
Katanya sebanyak 10 petugas pembimbing ibadat haji terlibat dalam mengendalikan program lawatan di Madinah termasuk menziarahi Masjid Nabawi, Makam Rasulullah, Masjid Quba, Masjid Tujuh dan Masjid Qiblatin.
Jemaah haji juga boleh menghubungi Talian Ibadat 012-5706161 mulai 14 Sept jika ada sebarang kemusykilan berkaitan ibadah haji. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar